Minggu, 10 April 2011

Tuesday, March 3, 2009

Teknik Pancing Kerapu

.

Kerapu merupakan satu spesis ikan yang paling digemari dan sentiasa menjadi buruan para pemancing. Ia dianggap sebagai satu simbol kejayaan bukan kerana aksinya semata-mata tetapi kerana isinya yang sedap, sangat susah didapati dan amat bernilai tinggi di pasaran.
Habitat dan Sifat pemakanan:

Ikan yang sering dijumpai di kawasan laut yang berstruktur ini susah didapati kecuali di sesetengah lubuk yang amat jarang dikunjungi oleh nelayan dan pemancing. Jika kita berjaya menjerat sekumpulan kerapu, ini bermakna lubuk itu masih dara atau telah lama tidak dikacau oleh nelayan atau pemancing.Pemangsa yang kelihatan bersifat pemalas, ‘berat perut’ dan bergerak lemah longlai itu menghabiskan banyak masa bersembunyi di kawasan berstruktur seperti kapal karam atau karang.

Ia gemar menyambar mangsanya dengan rakus dan kemudian membawanya secepat mungkin masuk ke struktur atau lubang yang menjadi kediamannya. Oleh itu, pemancing yang berjaya menewaskannya dalam saiz besar dianggap telah berjaya memperolehi salah satu lesen memancing yang amat dibanggakan.Dari segi sifat pemakanannya, kerapu bolehlah dikatakan spesis ikan yang paling tidak cerewet. Semua jenis umpan yang sesuai dengan seleranya akan diterkamnya tanpa banyak memilih. Kerapu biasanya aktif memburu mangsa pada waktu malam. Tetapi adakalanya pada waktu siang hari, khususnya awal pagi dan lewat petang, turut menjadi waktu yang paling sesuai untuk menjeratnya.

Dari segi bentuk badan dan sifat pemakanannya, kerapu telah diciptakan sebagai spesis pemangsa yang suka menyerang secara rakus, kasar dan mengejut. Ia mempunyai tenaga yang agak luar biasa untuk menyerang dan membunuh dengan begitu cepat dan singkat, tetapi ketahanan sewaktu menentang joran tidaklah berpanjangan sebelum ia lemah terkulai dan tewas.